TELUK INTAN – Akibat menyamun RM150 dengan mengacu pisau pada perut seorang warga emas berusia 81 tahun, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Norita Mohd Ardani menjatuhkan hukuman tersebut terhadap N.Tamilselvan, 37, dari Hutan Melintang selepas dia mengaku bersalah menyamun Yahaya Ismail di tandas Stesen Minyak Petron Hutan Melintang pada 4.30 petang, 6 Mac lalu.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap 7 Mac.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Ashraf Abdul Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

