KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar tiga negeri di Pantai Timur diunjurkan bertambah 1.5 peratus pada kadar semasa menerusi pelaksanaan Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata projek ECRL itu juga bakal merubah landskap ekonomi tiga negeri itu iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang, menjadi hab perdagangan, destinasi pelancongan dan tumpuan pelaburan baharu.
Perdana Menteri berkata projek ECRL penting untuk mengurangkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
“ECRL, adalah satu ‘pengubah strategi’ yang boleh memacu kadar pertumbuhan yang lebih tinggi untuk negeri-negeri Pantai Timur,” kata Perdana Menteri dalam ucapan perasmian sesi ‘Pemeriksaan Awam ECRL’ di sini hari ini. – BERNAMA

