ALOR SETAR – Dua nelayan yang menangkap ikan dengan bot rawa surong bertindak terjun ke dalam laut apabila dikesan Agensi Peguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kedah dua hari lalu.
Pengarah Maritim Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata bot itu dikesan bot peronda APMM kira-kira 1.2 batu nautika dari muara Kuala Kedah pada 2 pagi.
“Walaupun keadaan laut adalah gelap, namun mereka sanggup terjun dari bot mereka kerana takut ditahan. Kita kemudian merampas bot itu bersama peralatan termasuk enjin bot dan sebidang pukat rawa surung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pukat rawa surong diharamkan Jabatan Perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut.
Dalam kes berasingan, APMM turut menahan sebuah not nelayan kelas B1 kerana memukat ikan di kawasan kurang dari lapan batu nautika dari pantai Kuala Kedah. semalam.
Ahmad Kamal berkata seorang tekong bersama dua awak-awaknya telah ditahan. – BERNAMA

