IPOH – Gara-gara terlanggar seekor biawak, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Ipoh ke Kuala Lumpur tergendala di Kilometer 185.75 di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, tren yang membawa kira-kira 100 penumpang itu tergendala selama sembilan minit sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral.
Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, tren mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan koc selepas dipercayai melanggar biawak berkenaan.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan tiada pemindahan penumpang dilakukan. – MYNEWSHUB.CC

