KUALA LUMPUR – AirAsia Berhad (AirAsia) meminta orang ramai tidak terpedaya dengan agensi pelancongan tidak berdaftar yang menawarkan tiket penerbangan AirAsia dan AirAsia X di media sosial.
AirAsia dalam satu kenyataan berkata, agensi pelancongan terbabit mengiklankan penjualan tiket penerbangan AirAsia dan AirAsia X pada harga diskaun melalui Facebook dan Instagram.
“AirAsia ingin menasihatkan masyarakat awam supaya tidak menjadi mangsa penipuan oleh agensi pelancongan tidak berdaftar ini.
“AirAsia telah membuat satu laporan polis berikutan penerimaan beberapa aduan daripada masyarakat awam yang menjadi mangsa sindiket penipuan agensi pelancongan tidak berdaftar tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut AirAsia, syarikat penerbangan itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menganjurkan skim haram menggunakan jenama AirAsia.
Justeru, AirAsia mengingatkan orang ramai menempah tiket penerbangan mereka melalui saluran rasmi seperti laman sesawang airasia.com, laman sesawang rasmi syarikat sekutu (seperti AirAsiaGo.com) dan pusat jualan rasmi yang disenaraikan di laman sesawang AirAsia.com.
“Sebagai syarikat penerbangan yang terkemuka di Malaysia dan di rantau ini, jenama AirAsia sering disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menipu masyarakat awam.
“Sekali lagi kami ingin menasihati para tetamu AirAsia untuk menjauhkan diri daripada sebarang tawaran atau cadangan daripada pihak ketiga yang mendakwa mereka mewakili AirAsia,” kata kenyataan itu.
Tambah AirAsia, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan atau ingin melaporkan program yang disyaki satu penipuan menggunakan nama AirAsia melaporkannya facebook.com/airasia, twitter.com/airasia atau airasia.com/ask. – MYNEWSHUB.CC

