KUALA LUMPUR – Tiada lesen pembalakan dikeluarkan dalam kawasan hutan simpan kekal mahu pun rezab pelancongan atau tanah kerajaan berhampiran Tasik Chini, Pahang pada masa ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagi aktiviti perlombongan pula, hanya dua lombong besi masih aktif di bawah kelulusan kerajaan Pahang pada 2010 dengan jarak kedua-dua lombong ke kawasan Tasik Chini ialah kira-kira lima kilometer.
Merujuk artikel sebuah akhbar berhubung Tasik Chini, yang menyatakan keadaan di situ semakin tenat selepas kawasannya diterokai untuk aktiviti pembukaan tanah, Wan Junaidi berkata ia tidak mencerminkan status terkini tasik itu.
Menurutnya imej udara kawasan sekitar tasik itu yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), diambil pada 2013.
Wan Junaidi mengulas artikel akhbar berbahasa Melayu semalam mengenai tasik semula jadi kedua terbesar negara selepas Tasik Bera semakin terjejas akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal sehingga mengakibatkan saiznya semakin mengecil serta menunggu masa menjadi kering.
Akhbar itu melaporkan tasik semula jadi kedua terbesar negara selepas Tasik Bera semakin terjejas akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal dan mengakibatkan saiznya semakin mengecil serta menunggu masa menjadi kering.
Beliau berkata berkata pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan kementeriannya dengan kerjasama agensi kerajaan Pahang bagi memulihara dan memelihara kawasan berkenaan melalui pelaksanaan Pelan Pemuliharaan Tasik Chini sebagai Warisan Alam dan Rizab Biosfera.
Pelan itu merangkumi pemantauan kualiti air tasik, pengukuhan tebing dan pemuliharaan ex-situ tumbuhan yang dijalankan beberapa agensi termasuk Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Wan Junaidi berkata usaha merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kualiti air Tasik Chini mencapai Kelas 1 menjelang 2019 sedang dipergiatkan.
“Pemantauan kualiti air Tasik Chini secara bulanan menunjukkan penambahbaikan ketara dengan majoriti stesen berada pada tahap kelas 2 dan selebihnya pada tahap kelas 1 pada 2016 dengan kewujudan semula hidupan marin,” katanya.
Di samping itu, katanya Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) giat menjalankan penyelidikan mengenai pembungaan dan kemandirian pokok bunga teratai yang merupakan ikon utama Tasik Chini bagi menggalakkan pertumbuhannya.
Satu Jawatankuasa Pemandu Penguatkuasaan, Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tasik Chini juga ditubuhkan pada 28 Mac 2016 untuk mengenal pasti punca yang menyumbang kepada kemerosotan keadaan semula jadi dan tindakan yang harus diambil bagi mengatasinya. – BERNAMA