BERLIN – Tiga cedera selepas seorang lelaki memandu keretanya dan merempuh sebuah dataran sesak di tengah bandar Heidelberg di Jerman, namun polis menolak spekulasi ia serangan pengganas.
Polis berkata semalam, pihaknya mengesan suspek dan menembaknya selepas cuba melarikan diri dari lokasi kejadian di luar sebuah kedai roti sekitar tengah hari.
Suspek cedera ringan dan dibawa ke hospital.
Jurucakap polis, Anne Baas berkata, seorang daripada mangsa yang cedera kini kritikal.
Seorang lagi jurucakap polis, Norbert Schaetzle mendakwa, suspek menggunakan kereta sewa dan membawa pisau ketika melarikan diri dari kenderaan.
Schaetzle tidak mengesahkan laporan akhbar bahawa lelaki terbabit mengalami gangguan mental, sebaliknya berkata, polis tidak menganggap kejadian itu satu serangan pengganas kerana suspek bertindak bersendirian.
Sejak dua tahun lalu, Jerman berdepan beberapa serangan pengganas daripada kedua-dua elemen sayap kanan, kumpulan nasionalis serta pihak yang dipercayai ada kaitan dengan militan Daesh, berpusat di Iraq dan Syria. – Presstv

