MARANG – Sepasang kekasih diberkas kerana disyaki terlibat dalam 13 kes pecah cermin kenderaan di kawasan masjid di Terengganu dan Kelantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata pasangan berkenaan diberkas kira-kira pukul 2.30 petang, Isnin lalu di Chabang Tiga, Kuala Terengganu.
Katanya suspek lelaki yang berusia 29 tahun dan pasangannya berumur 32 itu bertindak memecahkan cermin sebuah kereta di sebuah masjid di Marang kira-kira pukul 6.25 pagi Ahad lepas.
“Ketika mangsa menunaikan solat subuh pasangan ini mengambil peluang dengan melarikan barangan berharga menyebabkan kerugian kira-kira RM 2,000.
Susulan itu gerakan memburu suspek diaktifkan sebelum pasangan ini dikesan di sebuah kedai 24 jam di Kuala Terengganu,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya hasil tangkapan itu juga pihak polis menemui 69 keping kad Mesin Teler Automatik (ATM), kad kredit serta beberapa keping kad pengenalan.
Beliau berkata pihaknya juga turut merampas pemutar skru, sepana, telefon bimbit, komputer riba serta sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan bagi melakukan jenayah itu.
Beliau berkata pasangan ini akan ke kawasan masjid ketika waktu solat dengan membawa seorang kanak-kanak bagi mengaburi mata orang ramai.
“Salah seorang dari mereka menjadi pemerhati manakala seorang lagi memecahkan cermin berkenaan. Kita percaya wanita berkenaan bertindak sebagai perancang dan pernah terlibat dalam kegiatan yang sama bersama pasangan yang lain.
Semakan rekod juga mendapati wanita yang berasal dari Terengganu itu mempunyai tiga rekod jenayah berhubung kes dadah dan curi manakala lelaki berkenaan tiada rekod jenayah,” katanya.
Pasangan berkenaan ditahan reman selama enam hari mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – BERNAMA

