KUALA LUMPUR – Umat Islam yang memiliki ilmu agama tetapi menentang usaha memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta 355 di Parlimen merupakan golongan yang takabur.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sifat itu adalah sifat yang terdapat pada golongan iblis kerana iblis juga sangat berilmu tetapi mengikut hawa nafsu.
“Sifat inilah yang ada pada iblis yang sangat berilmu, mampu menyaksikan kebesaran Allah dan melihat syurga dan neraka.
“Sifat inilah yang meletakkan diri sendiri sangat bijak, seolah-olah orang lain semuanya bodoh,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Abdul Hadi menjelaskan, sistem kehakiman menjadi sebahagian daripada jalan untuk menegakkan keadilan syariat Islam di negara ini.
Justeru, katanya. umat Islam yang menghalangnya menjadi wakil kepada penjajah terhadap umat Islam.
“Orang bukan Islam tidak boleh menentang kerana ini bukan urusan mereka. Adapun penganut Islam yang jahil adalah berdosa kerana tidak belajar,” katanya.
Beliau seterusnya berkata, usaha meminda Akta 355 mendapat sokongan majoriti umat Islam seperti yang diperlihatkan dalam Himpunan 355 baru-baru ini.
Sehubungan itu, katanya, umat Islam yang menentang ibarat kambing terpisah daripada kawanannya dan mudah menjadi mangsa serigala liar yang berkeliaran.
Usaha PAS untuk meminda Akta 355 bagi memperkasakan hukuman yang boleh dikenakan ke pesalah syariah termasuk yang berzina dan minum arak dikecam Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa usaha PAS itu merupakan strategi halus untuk melaksanakan hudud di Malaysia.
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut membantah usaha tersebut dengan mendakwa PAS mempergunakan agama untuk kepentingan politik. – MYNEWSHUB.CC

