ALOR GAJAH – Kerajaan negeri akan memastikan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka menyertai program anti rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menghindari amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar negeri Datuk Sazali Muhd Din berkata Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) merupakan PBT pertama di negeri ini dan menjadi PBT kedua di Malaysia selepas Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Selangor yang mengadakan program anti rasuah.
“Sehingga kini, dua PBT sudah mengesahkannya iaitu MPAG dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah memaklumkan akan mengadakan program melibatkan lafaz ikrar setiap kakitangannya pada 28 Mac.
“Dua lagi PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) belum mengesahkan tarikh, namun kita yakin kesemua PBT akan menyertai ikrar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Anti Rasuah MPAG di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua MPAG Ismail Hasim dan Pengarah SPRM negeri Abu Talib Othman.
Sazali berkata MPAG ini perlu dicontohi kerana sebagai anggota penguatkuasa, mereka terdedah kepada amalan salah guna kuasa dan rasuah khususnya ketika mengendalikan pelbagai urusan termasuk pengeluaran lesen, kawalan bangunan dan sebut harga.
Sementara itu, Ismail berkata MPAG akan mengadakan audit dalaman bagi memastikan setiap pegawai dan anggotanya bersih daripada amalan rasuah yang boleh merosakkan negara.
Abu Talib berkata, pihaknya akan berusaha menjalin kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan di negeri ini untuk melaksanakan pelbagai program kesedaran dan kempen anti rasuah. – BERNAMA

