ALOR SETAR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai untuk kegunaan tempatan dan diseludup ke Indonesia dengan penahanan tiga lelaki tempatan bersama 90 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM6.3 juta dalam tiga serbuan di Changlun dan Padang Besar, Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kejayaan operasi bermula 4.50 petang hingga 5.15 petang itu, hasil kerjasama pihaknya bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) dan Biro Kawalan Narkotik Thailand (PNSB).
“Dua suspek lelaki masing-masing memandu kereta ditahan di Changlun, Kedah manakala seorang lagi di Padang Besar, Perlis.
“Kesemua dadah itu disembunyikan di dalam papan pemuka setiap kenderaan suspek yang berusia 32 hingga 37 tahun, yang terdiri daripada dua kereta jenis Grand Livina dan sebuah Honda City,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hari ini, yang turut dihadiri Komander Bahagian Perisikan Narkotik PNSB Jeneral Chayapoj Hasunaha.
Mohd Mokhtar berkata polis turut menyita wang tunai dan pelbagai barang kemas bernilai RM30,000.
Rampasan dadah itu boleh menampung kegunaan 450,000 orang, katanya.
Mohd Mokhtar berkata salah seorang daripada suspek, sebelum ini dikehendaki polis Perak atas kesalahan jenayah, manakala seorang lagi dikesan positif dadah.
Mengenai kenderaan yang digunakan suspek, beliau berkata kesemua kenderaan itu didaftarkan di negara ini dan polis percaya kegiatan pengedaran dadah itu baru seminggu dijalankan.
“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi dan menahan rakan-rakan mereka (suspek) dalam masa terdekat,” katanya.
Kesemua suspek kini direman sehingga 27 Feb ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

