DHAKA – Selepas melalui pelayaran selama 12 hari, kapal misi kemanusiaan Nautical Aliya akhirnya selamat tiba di pelabuhan Chittagong dekat sini selepas memasuki Sungai Karnaphuli pada Selasa.
Nautical Aliya tiba di pelabuhan tersebut pada kira-kira pukul 10.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) dengan diiringi dua buah bot pengawal pantai Bangladesh serta kapal Tentera Laut Bangladesh.
Ketua misi kemanusiaan itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berterima kasih kepada kerajaan Bangladesh terutama Perdana Menteri, Sheikh Hasina kerana membantu menyediakan laluan khas ke pelabuhan.
“Memang pelabuhan ini sibuk dan harapnya semua urusan dipermudahkan,” kata beliau. Ia asalnya diminta berlabuh di Cox Bazar sejurus masuk ke perairan Bangladesh pagi semalam.
Namun pihak berkuasa Bangladesh mengubah keputusan tersebut apabila kemudian memberi kebenaran untuk kapal berkenaan terus berlayar ke Chittagong.
Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata setakat ini hanya 25 sukarelawan yang dibenarkan turun ke darat untuk pergi terus ke kawasan kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
“Kami akan mengadakan perbincangan dan rundingan bagi membolehkan kesemua 182 sukarelawan turun membantu di kem pelarian Rohingya,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati sukarelawan kekal bersemangat untuk membantu masyarakat Rohingya meskipun mendapat khabar hanya 25 sukarelawan dibenarkan turun.
Setelah berlepas pada 3 Februari dari Pelabuhan Klang, kapal itu pada 9 Februari menurunkan bantuan di pelabuhan Yangon, Myanmar untuk masyarakat Rohingya sebelum kembali belayar menuju ke Chittagong.
Misi khas tersebut yang dikenali sebagai Food Flotilla for Myanmar anjuran Kelab Putra 1Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.
Ia turut disertai 182 sukarelawan merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia dan negara luar, pasukan perubatan, tenaga pengajar dan pengamal media. – BERNAMA
