CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta menilai semula Akta Tandatangan Digital 1997 yang telah diguna pakai hampir 20 tahun, seiring dengan perkembangan era digital hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Jailani Johari yang mencadangkan perkara itu berkata, satu kajian harus dilaksana suruhanjaya itu bagi memastikan adakah akta itu masih relevan dan sesuai dengan pertumbuhan semasa sektor ekonomi digital negara.
Pada masa ini, katanya, tiga pihak berkuasa pemerakuan telah dilantik kerajaan untuk melaksana perkhidmatan tersebut melalui sijil digital iaitu Post Digicert Sdn Bhd, MSC Trustgate Sdn Bhd, Telekom Applied Business Sdn Bhd.
“Kajian tersebut jika dilaksanakan haruslah membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk tiga pihak berkuasa pemerakuan yang dilantik serta orang awam,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran pejabat baharu Pos DigiCert di sini, hari ini.
Akta Tandatangan Digital 1997 digubal bagi memberi keyakinan dan menggalakkan rakyat melakukan transaksi elektronik yang selamat dengan penyediaan sistem verifikasi bagi mengesahkan identiti penghantar dan mesej yang dihantar.
Menurut Jailani, sijil digital yang terkumpul pada 2016 direkodkan sebanyak 9.3 juta berbanding 8.3 juta sijil digital pada tahun sebelumnya.
“Kita meletakkan sasaran sebanyak 10 juta sijil digital akan dicatatkan pada tahun ini sejajar dengan kepesatan penggunaan e-digital yang memudahkan masyarakat menjalankan transaksi dalam talian,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata setakat ini Pos Digicert menyumbang sekitar RM30 juta ke RM40 juta setahun kepada pendapatan syarikat.
“Kita menyasarkan jumlah ini akan terus berkembang sejajar dengan potensi besar e-commerce yang semakin berkembang dan masyarakat sememangnya mementingkan keselamatan dalam transaksi mereka,” katanya.
Pada majlis itu, Pos Malaysia turut memperkenalkan aplikasi Pos Mobile, sebagai perkhidmatan alternatif membantu pengguna melakukan urusan asas dengan Pos Malaysia.
Perkhidmatan yang disediakan melalui Pos Mobile termasuk pengesanan barangan, mengira kadar bayaran pos, cari poskod dan mengesahkan pek prabayar pelanggan melalaui telefon pintar Android dan iPhone. – BERNAMA

