JASIN – Penerima rumah untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel bersyukur diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri.
Bagi Norhamimah Rahim, 41, dari Simpang Kerayong di sini, beliau dan suami, Ishamsul Ismail, 41, serta tiga anak mereka teruja apabila dimaklumkan layak menyewa di PPR berkenaan kira-kira sebulan lepas.
Beliau berkata impiannya memiliki rumah akhirnya tercapai dengan pelaksanaan PPR berkenaan kerana mereka sekeluarga hanya bergantung pada pendapatan suami yang bekerja sebagai buruh dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Setiap unit rumah berkenaan bernilai RM165,000 dan akan disewakan pada kadar RM250 sebulan kepada mereka yang berkelayakan terlebih dahulu sebelum dijual kepada mereka dalam tempoh yang akan ditentukan.
“Saya memohon untuk mendapatkan PPR di sini sejak Feb tahun lepas dan alhamdulillah ia diluluskan. Sekarang kami menyewa di Taman Maju Jasin dan sewa bulanannya adalah RM680, sangat mahal dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Saya dan keluarga tidak peduli ditempatkan di tingkat berapa pun. Walaupun berkerusi roda, kemudahan lif disediakan,” katanya yang berkerusi roda disebabkan lumpuh sejak beberapa tahun lepas.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis cabutan undi bagi kunci rumah PPR Tehel yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Bemban Datuk Ng Choon Koon dan turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Mohd Dom.
Sebanyak 500 unit apartmen 12 tingkat dengan pelbagai kemudahan asas termasuk dewan serbaguna, gelanggang futsal, surau dan taman permainan disediakan kepada pemohon yang layak menerusi projek bernilai RM80 juta yang siap dibina 1 Jan lalu.
Suri rumah itu berkata keluarganya dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka lebih dua kali ganda apabila mula menyewa di PPR Tehel yang dijangka mula diduduki awal Mac ini.
Siti Khadijah Ismail, 30, pula berkata permohonan PPR oleh suaminya, Shafie Hassan, 35, dibuat empat tahun lepas dan kelulusannya hanya diketahui dua minggu lalu.
Beliau berkata sebelum ini dia bersama suami dan tiga anak mereka tinggal di rumah ibu mentuanya di Kampungku Sayang Bukit Baru sejak 10 tahun lepas disebabkan sewa rumah yang tinggi.
“Saya dan suami sangat bersyukur kerana saat yang kami tunggu untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai. Berbaloi kerana dapat menyewa pada harga RM250 sebulan kerana pada zaman sekarang sewa rumah agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata mereka sekeluarga mendapat unit rumah di tingkat satu atas faktor kesihatan suaminya yang baru menjalani pembedahan disebabkan ‘slipped disc’ pada Dis tahun lepas.
Sementara itu, M.Pakiavathy, 49, berkata PPR yang diwujudkan kerajaan membantu keluarganya untuk memiliki rumah sendiri pada harga yang berpatutan kerana pendapatan sebulan keluarganya hanya RM900.
“Dalam keluarga hanya saya yang bekerja dan pendapatan sebagai tukang cuci adalah tidak seberapa. Saya dah mohon PPR sejak setahun lepas dan sangat gembira apabila berjaya,” kata ibu kepada lima anak itu yang menyewa di Taman Bemban Utama pada kadar RM300 sebulan.
Dalam pada itu, Ng berkata langkah menyewa sebelum menjual rumah itu adalah bagi mengelak sebarang penyelewengan daripada penyewa selain memastikan hanya mereka yang layak dapat memiliki rumah berkenaan.
“Lembaga Perumahan Melaka akan memantau perkara ini dan mereka yang mendapat kelulusan tetapi kemudian menyewakan kepada orang lain, kita akan tarik balik dan berikan pada yang lebih layak,” katanya. – BERNAMA
