TELUK INTAN – Tekanan air Sungai Bidor yang kuat dipercayai punca beberapa ban berhampiran Kampung Selat Manggis pecah, memaksa 18 daripada 22 keluarga di kampung itu berpindah hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata keadaan bertambah buruk apabila laluan utama ke kampung itu tidak dapat dilalui kenderaan selepas dinaiki air setinggi satu meter, menyebabkan usaha memindahkan mangsa dilakukan dengan bot.
“Kerja-kerja memindah mangsa bermula 10 pagi tadi berikutan air semakin naik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kerawai.
Seorang mangsa, Sarimah Ibrahim, 40, berkata dia sekeluarga dikejutkan oleh jeritan jiran pada 5 pagi sebelum menyedari rumahnya dinaiki air separas betis.
“Semalam air hanya bertakung di pekarangan rumah. Tak sangka kampung kami kena banjir kerana kali terakhir banjir berlaku pada 2012,” katanya kepada pemberita.
Seorang lagi mangsa, Nawwar Hanim Abdul Aziz, 28, berkata dia dan tiga anak adalah keluarga pertama yang dipindahkan.
“Air mengalir deras awal pagi tadi di pekarangan rumah saya. Habis sofa, perabot, periuk terapung dan ditenggelami air,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Hilir Perak merangkap pengerusi bencana daerah, Shahrunaim Radzali berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai ban pecah di Kampung Selat Manggis dan akan mengarahkan pembaikan.
Setakat petang ini, empat pusat pemindahan masih beroperasi di Hilir Perak iaitu SK Pengkalan Ara, SK Changkat Jong, SK Sungai Tukang Sidin dan SK Sungai Kerawai. – BERNAMA

