PELAKON dan pengacara Fizo Omar tidak menyangka rumahnya yang terletak di Kampung Selising, Pasir Puteh, Kelantan turut dinaiki air akibat banjir.
Menurutnya, ini adalah kali pertama keluarganya sendiri berhadapan dengan banjir sepanjang 40 tahun menetap di sana.
“Rumah di Kampung Selising tidak pernah ditenggelami air dan musibah kali ini memang tidak dijangkakan.
“Malah, ketika banjir teruk di Kuala Krai dua tahun lalu, kawasan kampung pun masih terselamat.
“Selama 40 tahun keluarga menetap di sana, tak pernah pula berlaku, tetapi kali ini air melimpah masuk ke dalam rumah sehingga tidak sempat menyelamatkan barang dan perabot.
“Ada anggota keluarga terpaksa menetap di rumah saudara-mara sementara menunggu keadaan kembali pulih.
“Menurut ramalah kaji cuaca, hujang lebat dijangka beransur kurang sebelum Mac,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Fizo memberitahu air di rumahnya sudahpun surut namun mereka masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga berdepan sebarang kemungkinan sekiranya banjir lagi. – MYNEWSHUB.CC