BEIJING – Seorang lelaki yang terlalu miskin untuk membeli tiket kereta api sanggup memilih cara menunggang basikal semata-mata pulang kampung demi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina.
Namun malang berlaku apabila dia didapati mengayuh basikal buruknya itu ke arah yang salah dan hanya baru menyedarinya setelah penat berbasikal sejauh 480 kilometer, lapor media tempatan di China semalam.
Lelaki ini malahan mendakwa dirinya sudah menempuh perjalanan selama 30 hari sejak meninggalkan tempat kerjanya di bandar Rizhao, wilayah Shandong, di bahagian timur China sekitar Disember tahun lalu.
Dia bahkan sangat yakin sedang menuju ke arah utara untuk terus menuju ke desa halamannya yang dikatakan terletak di Qiqihar, wilayah Heilongjiang, sekitar 1,500 kilometer dari bandar Shandong tersebut.
Menurut laporan media, lelaki tersebut berbasikal ke arah selatan sebelum dihentikan oleh sebuah kereta polis peronda kerana memasuki ke lebuh raya tol di wilayah Anhui, hampir 500 kilometer arah berlawanan.
Lelaki yang kebingungan itu menjelaskan bahawa dia tidak tahu membaca papan tanda trafik atau peta sebaliknya hanya mengandaikan arah perjalanannya dengan bertanya kepada orang yang ditemuinya sepanjang jalan.

Namun menurut pengakuannya, ada juga sebahagian besar orang yang ditemui pernah menyatakan bahawa dia sedang berjalan ke arah yang salah tetapi tidak pula dihiraukannya kerana yakin menuju ke laluan betul.
Sepanjang perjalanannya, lelaki tersebut yang tidak didedahkan identitiya itu hanya menginap di kafe siber pada sebelah malam hari kerana salji tebal akibat musim sejuk yang mencengkam tubuh badannya.
“Kami pada mulanya melihat dia dan kemudian berasa sangat janggal ada seseorang selamba boleh berbasikal di bahu laluan lebuh raya bertol,” kata seorang anggota polis kepada sebuah stesen televisyen tempatan.
Mujur lelaki tersebut bernasib baik apabila pihak polis dan petugas plaza tol di lebuh raya berkenaan akhirnya membelikan tiket kereta api untuk memudahkan dia akhirnya dapat pulang kampung dengan lebih selesa.
Sekitar 282 juta rakyat China kini sedang bergegas dalam perjalanan balik ke kampung masing-masing untuk bersama-sama dengan ahli keluarga merayakan tahun baharu ayam jantan yang jatuh pada Sabtu ini.
Dianggarkan 350 perjalanan kereta api dan 58 juta penerbangan di seluruh wilayah China selama sebulan ketika saat puncak perayaan cuti panjang utama tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

