MINUMAN teh terkenal, Chatime tidak akan lagi dikenali dengan jenama itu bermula 6 Mac ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding yang memegang lesen francais Chatime di Malaysia, Bryan Loo, kesemua 165 cawangan Chatime di negara ini akan melalui proses penjenamaan semula.

Aktiviti penukaran jenama itu dilaksanakan selepas Loob Holding menerima surat pelucutan hak sebagai pemegang lesen francais Chatime pada 5 Januari lalu daripada syarikat francais induk jenama berkenaan dari Taiwan, La Kaffa International Co Ltd (La Kaffa).
La Kaffa International telah menamatkan kontrak Loob Holding awal bulan ini, yang mana kontrak asal sepatutnya tamat pada 2041.
Menurut Bryan lagi, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap La Kaffa di atas segala kerumitan yang dialami syarikatnya berhubung penamatan kontrak tersebut.
Walaupun selepas ini Chatime tidak lagi akan dikenali dengan namanya itu, namun Bryan memberi jaminan ia akan terus mengekalkan konsep sama seperti sebelum ini.
Jenama baharu itu masih akan mengekalkan logo berwarna ungu yang sinonim dengan Chatime selain akan lebih bereksprementasi dengan pelbagai variasi minuman selain daripada bubble tea.
“Kini kami tidak lagi terikat untuk menghasilkan bubble tea sahaja, sebaliknya selepas ini kami boleh beri lebih pilihan minuman seperti jus dan kopi,” katanya seperti dipetik The Star.
Bryan berkata sebelum ini terdapat perselisihan dan pertikaian ke atas urusan perniagaan dan hal-hal operasi tetapi semua telah diselesaikan mengikut syarat-syarat dalam perjanjian francais. – MYNEWSHUB.CC

