ALAHAI… Gagal ‘menumpang’ populariti otai DAP, Lim Kit Siang yang tidak berapa gah itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini terpaksa pula mempergunakan artis tempatan untuk tujuan politik sempit.
Semalam nama penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza tular apabila konon dikaitkan bakal jadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melawan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.
Terbaharu, sekeping foto memaparkan beberapa lagi artis Melayu bertemu dan bergambar mesra dengan Pengerusi PPBM itu kecoh menjadi tular dalam kalangan netizen media sosial khasnya penyokong totok propembangkang.
Bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya, Mahathir yang kini terpalit pendedahan semula skandal BMF dan tawaran ‘gila’ Kit Siang bakal Timbalan Perdana Menteri, cuba memperbaiki imej rosak dirinya.
Beliau tiba-tiba sanggup ‘berswafoto’ dengan artis popular antaranya Rozita Che Wan, Zain Saidin, Wak Doyok, Ruhainies, Tasha Shiela dan ramai lagi yang dikenali begitu mengagumi ketokohan Mahathir sebagai negarawan.
Memang suatu kelaziman artis memiliki ramai peminatnya jika hendak dibandingkan dengan ahli politik, maka inilah peluang mahu mengeksploitasi mereka untuk memperdayakan rakyat konon PPBM pun disokong artis!
Baca: Artis Tubuh Kelab Sokong Perjuangan UMNO

Terbukti strategi itu berjaya apabila sepanjang hari ini tular melalui laman sosial memaparkan gambar artis berjumpa beliau ‘hangat’ dikongsi sehingga menenggelamkan pelbagai cerita buruk mengenai Mahathir.
Konon mereka bertemu semata-mata membincangkan mengenai topik perkongsian dua hala. Timbul juga persoalan adakah artis terbabit memang propembangkang kerana selama ini sering muncul dalam acara anjuran kerajaan?
Boleh jadi juga barisan artis ini bakal menjadi jentera kempen Mahathir bersama-sama pembangkang diterajui DAP, parti yang dikutuk oleh beliau sebagai rasis cauvinis untuk menumbangkan kerajaan Islam BN diketuai UMNO.
Maklumlah kerjasama Mahathir dengan DAP, yang diketahui tidak membela masyarakat Melayu sebagaimana berlaku di Pulau Pinang sejak 2008; telah menyebabkan sokongan Bumiputera Islam terhadap beliau merudum.
Jika ini benar, maka amatlah malang apabila ada sanggup biar diri diperalat demi kepentingan politik pembangkang yang diketahui selama ini tidak pernah prihatin menjaga kepentingan artis. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA