KUALA LUMPUR – Seorang penganggur didenda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah dengan sengaja memukul seorang tukang masak menggunakan kunci stereng.
Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Kock Ho, 58, kerana memukul Kevin Yong Ke Voon, 29, di bahagian bahu menggunakan kunci stereng di Taman Segar, Cheras, di sini pada 12 tengah malam, 22 Jan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dengan denda atau, dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Di mahkamah sama, dua lelaki masing-masing didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana mencuri 20 batang besi milik Syarikat Fruitation Sdn Bhd di Jalan Leboh Pasar, di sini, pukul 11.45 malam, pada 20 Jan lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Selvam, 28, dan Muhammad Firdaus Abdullah, 28, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri itu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-keduanya dan bagi kesalahan kedua atau yang seterusnya boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Menurut fakta kes, ketika kejadian kedua-dua tertuduh sedang memasukkan besi-besi berkenaan ke dalam sebuah kereta sebelum ditahan anggota polis yang ketika itu sedang menjalankan rondaan.
Pendakwaan dikendalikan Nur Farah Adilah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

