KUALA LUMPUR – PAS terus diserang hebat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gara-gara keengganan parti Islam itu bersengkongkol dengan sebuah gabungan parti pembangkang yang diketuai DAP.
Terbaru, pemimpin Pakatan Harapan, Salahuddin Ayub mendakwa rakyat Malaysia wajib tidak beri undi kepada Gagasan Sejahtera yang dibarisi PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) kerana ia adalah sebuah gabungan pembangkang yang tidak boleh dipercayai.
Justeru, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) berkata, Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara bagi meminta rakyat menolak PAS dan Ikatan.
“Rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga ini adalah satu perancangan sulit dan rapi untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat dewasa ini.
” PAN dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan PPBM akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan disertai PKR dan PAN, manakala Gagasan Sejahtera dianggotai PAS, Ikatan dan Berjasa.
PPBM pula ditubuhkan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berdendam dengan UMNO kerana tidak memenuhi hasratnya melantik anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Presiden yang baharu.
Salahuddin dalam pada itu memuji-muji PPBM yang diasaskan Mahathir sebagai sebuah parti yang perlu ditauladani kerana bersengkongkol dengan Pakatan Harapan.
“Ini (PAS) adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang,” dakwanya.
PAS disingkirkan daripada pakatan pembangkang oleh DAP dan PKR dua tahun lalu kerana enggan berkompromi dalam isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam kepada pembangkang.
DAP dan PKR kemudian menubuhkan Pakatan Harapan dengan disertai PAN yang diwujudkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bagi menggantikan PAS sebagai parti Islam dalam pakatan pembangkang.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan pada tahun lalu bagaimanapun cuba memujuk PAS kembali menyertai pakatan pembangkang selepas mendapati sokongan umat Islam ke atas mereka menurun.
PAS bagaimanapun menolak pelawaan itu dan menubuhkan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan. -MYNEWSHUB.CC

