PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengedarkan sebanyak 1,506 kit makanan permulaan (KMP) kepada mangsa banjir gelombang kedua di beberapa kawasan di Kelantan.
Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata KMP tersebut diedarkan pada Jumaat dan Sabtu (semalam) di pusat-pusat pemindahan sebagai tambahan kepada stok yang telah dihantar semasa banjir gelombang pertama.
Katanya kit berkenaan ternyata memberi keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari-hari pertama pemindahan.
“Kit ini diisi dengan produk-produk FAMA berjenama Agromas, antaranya biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman tiga dalam satu, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya KMP adalah inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama FAMA sebagai pembekal kit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.
Ahmad berkata sepanjang musim tengkujuh ini, kira-kira 5,300 set kit tersebut diedarkan di Terengganu dan 8,487 set KMP diedarkan di Kelantan.
Pengedaran kit tersebut mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh 2015/2016, dan merupakan satu daripada prosedur operasi standard yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga yang diiktiraf sebagai model contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan. – BERNAMA

