KUALA LUMPUR – Dua pasukan iaitu Selangor dan Felda United bermula dengan langkah kanan pada aksi pembukaan Liga Super selepas mencatat kemenangan, malam ini.
Krisis dalaman yang membelenggu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) nyata tidak menjejaskan skuad Gergasi Merah yang menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol pertama skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh Adam Nor Azlin pada minit ke-35.
Jaringan berkenaan berpunca daripada tampanan lemah yang dilakukan penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney Syed Hussein susulan tandukan kencang Ugo Ukah sebelum Adam menyambar bola berkenaan untuk meletakkan Selangor di hadapan.
Penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe mengesahkan kemenangan untuk skuad Gergasi Merah selepas menjaringkan gol kedua pada minit ke-45.
Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Pahang, jaringan tunggal penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67 memastikan Felda United mengutip tiga mata ke atas pendatang baharu, PKNS FC.

Dalam pada itu, Perak terpaksa bangkit untuk mengikat Pahang 1-1 pada aksi di Stadium Perak, Ipoh.
Ahmad Syamim Yahya meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-56 sebelum pemain import dari Brazil, Thiago Aquino menyamakan kedudukan untuk Perak pada minit ke-68.
T-Team turut gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Mohd Nor Hakim Hassan menjaringkan gol pembukaan untuk skuad “The Titans” pada minit ke-49 sebelum Mateo Roskam menyamakan kedudukan untuk Sarawak pada minit ke-80.
Perlawanan antara Kelantan dan Melaka United yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini, ditunda ke suatu tarikh baharu berikutan cuaca buruk yang melanda Kelantan.
Untuk rekod, juara bertahan Johor Darul Ta’zim berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dengan Kedah pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat yang turut dikira sebagai perlawanan pembukaan Liga Super. – BERNAMA

