IPOH – Seorang pembantu kedai runcit maut digilis sebuah lori di Kilometer 30 Jalan Ipoh-Lumut di lampu isyarat Bandar Universiti dekat Seri Iskandar hari ini.
Mangsa yang menunggang motosikal dan dikenali sebagai Nurul Sazlin Khalidin, 25, dari Batu Gajah, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt. Aziz Hassan berkata hasil siasatan mendapati insiden berlaku pada 1.52 petang ketika kedua-dua kenderaan tersebut dari arah Lumut menghala Ipoh.
“Lori terbabit berhenti di lampu isyarat dan meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat hijau.
“Selepas bergerak kira-kira 700 meter, ada orang awam memberitahu pemandu lori berusia 57 tahun itu bahawa dia telah melanggar sebuah motosikal. Pemandu lori itu kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat punca kejadian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

