TUMPAT – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) hari ini menyerahkan sumbangan kepada 800 keluarga mangsa banjir dari Kampung Simpangan, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Telok Jering di sini.
Sumbangan berupa bekalan makanan dan wang tunai itu disampaikan isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor pada majlis Sesi Bertanya Khabar Mangsa Banjir dan Penyampaian Sumbangan Bakti di Masjid Simpangan di sini.
Turut hadir Setiausaha Bakti Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.
Rosmah turut meluangkan masa beramah-mesra dengan mangsa bencana banjir itu yang berlaku awal bulan ini.
Sementara itu, Mohd Rosdi dalam ucapannya berkata penduduk di mukim Bendang Pak Yong yang sering terjejas dengan bencana banjir ‘termenung’ (air bertakung) amat bertuah kerana telah dua kali dikunjungi Rosmah.
Beliau berkata kali pertama isteri Perdana Menteri melawat kawasan itu ialah pada 2014 selepas Kelantan dilanda banjir besar.
“Kita terlalu dekat di hati Datin Seri Rosmah. Sejak merdeka hingga kini, belum ada mana-mana isteri Perdana Menteri yang menjejakkan kaki ke mukim Bendang Pak Yong.
“Kita teruja dan rasa amat dihormati oleh Datin Seri Rosmah yang sanggup mengorbankan masa untuk datang bertanya khabar dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima bantuan Salma Mustapa, 51, dari Kampung Simpangan di sini, berkata beliau amat teruja dapat bertemu dengan Rosmah.
“Ini kali pertama saya dapat bertemu dan bersalam dengan Datin Seri. Saya rasa bertuah kerana Datin Seri juga menyerahkan sendiri sumbangan makanan dan wang tunai kepada saya,” katanya. – BERNAMA

