BERITA mengejutkan buat industri seni hiburan, ini kerana penyanyi rap terkenal Altimet mengumumkan bakal berhenti menyanyi bermula tahun depan.
Keputusan ini dibuat Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 39, kerana merasakan apa yang diimpikan dalam bidang seni sudah tercapai.
“Alhamdulillah sepanjang pembabitan dalam bidang seni saya sudah dapat apa yang diimpikan. Kebanyakan yang dirancang dan disasarkan berjaya dilaksanakan, cuma saya kini hanya mengimpikan untuk menerbitkan album berkonsepkan filem.
“Keputusan ini sudah lama dibuat iaitu sejak saya bergerak solo pada 2007. Sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri. Kata orang lebih baik berhenti selagi masih disenangi daripada berlaku sebaliknya,” katanya kepada Harian Metro.
Penyanyi lagu Amboi ini memilih untuk menamatkan kerjaya nyanyiannya pada ulang tahun kelahirannya ke-40 iaitu pada 27 November tahun depan.
Selepas ini, Altimet akan bergiat aktif dengan bidang perniagaan pula. – MYNEWSHUB.CC
