SEBELUM ini Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ada menegur usahawan produk kecantikan dan kesihatan ternama, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman atau lebih dikenali sebagai Abang Terlajak Laris kerana menyiarkan iklan D’Herbs yang menjolok mata di sebuah akhbar harian, baru-baru ini.
Baca: Nik Abduh Tegur D’Herbs Buat Iklan Menjolok Mata
Susulan itu, Aliff Syukri ada memberikan kenyataan balas mengenai teguran yang diberikan Nik Abduh yang mana beliau berterima kasih di atas perkara tersebut namun berasa agak terkejut kerana teguran itu dilakukan secara terbuka menerusi laman sosial pemimpin tersebut.
“Pertama sekali, saya amat berterima kasih di atas teguran yang diberkan kerana teguran tersebut amat berilmiah dan siapalah saya untuk menandingi ilmu agama yang ada pada beliau.
“Saya akui saya memang tidakada masalah di atas nasihat yang telah diberikan cuma saya agak terkilan pabila mendapat beberapa respon dan persepsi negatif daripada masyarakat umumnya.
“Saya sebagai seorang usahawan kosmetik yang membawa jenama D’herbs terutamanya terpalit dengan kecaman mahupun komen-komen tidak membina hasil daripada teguran secara terbuka yang telah dibuat.
“Sejujurnya, syarikat saya ternyata bertungkus- lumus untuk meningkatkan dan mempertahankan perniagaan kami dalam keadaan ekonomi yang tidak memberansangkan, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari segi pengiklanan untuk menarik minat pelanggan namun apabila perkara ini terjadi, jenama D’herbs serba-sedikit dipandang negatif oleh masyarakat.
“Sesungguhnya, bukan mudah untuk saya membina perniagaan dan bertapak dalam dunia kosmetik ini. Tidak mudah juga untuk saya menempuh segala dugaan dan cabaran bersama- sama tulang belakang syarikat sehingga namanya dikenali kini.
“Namun bak kata orang, ‘meruntuhkan sesuatu itu lebih mudah daripada membinanya’. Perkara ini sebenarnya yang menjentik hati saya untuk berbicara. Bagi saya, lebih molek sekiranya saya ditegur secara peribadi berbanding secara terang- terangan agar perkara tersebut tidaklah memalukan. Saya faham niat beliau adalah amat murni agar saya menambahbaik pengiklanan yang akan dikeluarkan pada masa akan datang tetapi maruah saya dan D’herbs terutamanya tidak perlulah diperkecilkan sebegitu.
“Saya percaya bahawa menegur itu biarlah kena pada tempatnya dan tidak sampai mengaibkan. Saya berpegang pada satu kata- kata, ‘Menegur jangan sampai menghina, mendidik jangan sampai memaki’.
“Buat akhirnya, segala yang baik itu datangnya dari Allah, yang buruk itu adalah dari saya,” tulisnya di laman Instagram miliknya. – MYNEWSHUB.CC

