KUANTAN – Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan Kampung Semerting dan Kampung Mancis di Bentong dilanda banjir kilat.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Pahang, Zainal Yusoff berkata setakat ini masih tiada pemindahan dilakukan, namun pihaknya masih berwaspada dengan peningkatan paras air.
“Banjir kilat melibatkan sebuah rumah di Kampung Mancis dan lima buah rumah di Kampung Semerting yang dinaiki air dengan kedalaman antara satu hingga dua kaki.
“Air juga melimpah ke jalan persekutusan Mancis ke Simpang Pelangai, namun setakat ini jalan itu masih boleh dilalui semua kenderaan,” katanya semasa dihubungi.
Zainal menambah selain faktor hujan lebat, banjir kilat juga berpunca akibat limpahan air daripada hujan lebat di Bukit Kenaboi, Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Bentong.
Beliau menambah mengikut pengalaman lalu, banjir kilat dijangka surut menjelang petang sekiranya cuaca bertambah baik. – BERNAMA

