DALAM dunia moden, gangguan jiwa muncul dalam pelbagai elemen. Malah, dalam kes tertentu, penderita sakit jiwa bijak berlakon dan terlihat sangat sihat.
Inilah intro bagi thriller dunia pecandu Instagram (IG). Wujud perspektif: Apakah benar ada watak psiko seperti paparan filem Copy Cat, Silent Of The Lamb, Cape Fear, Haniball, Fatal Attraction, Men Bites Dog dan Psyco dalam IG.
Cuma secara relatif, sama seperti gilanya watak-watak utama dalam filem ini, kengerian karektor penderita psikopath tidak kelihatan secara luaran. Sama seperti penderita psikosis IG, ia tidak jelas kelihatan pada post yang dimuat naik untuk paparan.
Pecinta IG percaya, kegilaan mereka berkongsi diri sebagai memenuhi demand trend. Malah relatif dengan zaman yang dipacu media sosial. Istilah trendy dan demand media sosial adalah ekskapisme yang sering dimomokan pecandu IG dalam menonjolkan diri.
Psikosis dalam istilah klinikal berkait dengan keadaan mental yang terganggu oleh delusi atau halusinasi.
Delusi adalah kesalahfahaman atau pandangan yang kontras terhadap suatu hal. Penderita delusi percaya hitam adalah putih. Malah, putih sebenarnya hitam. Begitulah kroniknya definisi mereka terhadap realiti.
Sementara gangguan halusinasi pula terbentuk berdasarkan persepsi kuat terhadap suatu kenyataan yang sebenarnya tidak pernah ada.
Pecandu IG percaya, post di IG memberikan definisi diri dan karektor serta mampu mencipta realiti personaliti. Karektor yang dipaparkan pada IG dapat menciptakan persepsi yang lebih baik pada imej mereka berbanding apa yang dicapai dalam kehidupan sebenar.
Justeru, untuk mendapat watak yang didelusikan, pecinta IG percaya: Post yang berkait dengan pembinaan karektor mampu merubah karektor sebenar dalam kehidupan.
Seorang pekerja yang pemalas dan gagal dalam profesinya percaya, dengan mencipta paparan melalui post di IG, dirinya mampu menjadi seorang yang dilihat rajin dan sukses. Seorang yang dungu percaya, memetik begitu banyak kata-kata pemikir, mampu menjadikan dirinya genius IG.
Permainan delusi ini menjadikan IG popular di kalangan penderita psikosis. Mereka berjaya membina lingkungan dengan sama-sama mencipta delusi bagi mencapai realiti yang tidak pernah dimiliki dalam kehidupan sebenar.
Sekali pun berkelompok dan antaranya saling mengenali antara satu sama lain, pecandu IG boleh saling menerima kepura-kepuraan imej yang dipaparkan. Komuniti psikosis IG menerima realiti sesama mereka: IG adalah realiti walaupun karektor rakan yang dikenali itu bukanlah seperti yang dipaparkan dalam IG.
Bagi pecandu IG, ini realiti yang dinikmati sekali pun sarkastik.
Selain gangguan psikosis bersifat delusi yakni mempercayai sesuatu yang berlawanan daripada realiti, pecandu IG turut menikmati katarsis dengan membina watak diri dalam maya IG. Komuniti psikosis IG mengamalkannya sebagai realiti hipokrit yang diterima.
Ini antara realiti eskapisme yang dinikmati penderita halusinasi yang percaya: Wujud diri yang sebenar dalam dunia IG tanpa perlu lagi percaya pada diri yang sebenar di dunia nyata.
Justeru, tidak hairanlah dunia IG meriah dengan perkongsian hipokrit. Malah, secara ideal, penderita psikosis saling menyokong satu sama lain dalam menciptakan delusi dan halusinasi yang aneh dalam post yang dipaparkan.
Dalam dunia IG: Penderita psikosis menikmati realiti yang dibina bersama-sama kegilaan komuniti hipokritnya.
Bagi yang sihat tidak mengapa.
Cuma hati-hati. Anda mungkin sebahagian daripada delusi dan halusinasi psikosis IG yang tidak diduga!
