KOTA BELUD – Pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud yang bermula pada 2015 berjalan lancar dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau yang berpuas hati dengan kemajuan projek itu berkata, projek di Kampung Pirasan dekat sini itu akan memanfaatkan golongan berpendapatan rendah di daerah ini.
“Inilah tanda terima kasih kerajaan Barisan Nasional atas sokongan rakyat di daerah ini.
“Biarpun kos projek ini adalah RM162 juta bagi membina 900 unit rumah teres setingkat iaitu bersamaan dengan RM180,000 seunit, namun kerajaan akan menjualnya pada kadar rendah iaitu RM42,000 seunit,” katanya kepada pemberita selepas mengakhiri lawatannya ke Kota Belud hari ini.
Beliau berkata, ini sejajar dengan dasar kerajaan untuk memindahkan kekayaan negara kepada rakyat berpendapatan rendah kerana dengan hanya RM42,000 rakyat di Kota Belud mampu memiliki rumah sendiri serta kemudahan lain yang tersedia dalam projek itu.
Selain itu, Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata projek PPR di Pulau Mantanani dekat sini juga akan dilaksanakan menerusi pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Jelasnya, pembinaan 100 unit rumah itu merupakan langkah pertama bagi merancakkan aktiviti pelancongan di pulau berkenaan, sekali gus memberi pelancong dalam dan luar negara pilihan alternatif kepada pulau yang terdapat di pantai timur Sabah.
“Kita merancang untuk memindahkan penduduk kampung di kawasan pantai pulau itu ke kawasan PPR agar kemudahan pelancongan seperti hotel dan jeti dapat dibangunkan di kawasan pantai,” jelasnya.
Terdahulu, Abdul Rahman melawat Dataran Kota Belud, yang memberi imej baharu kepada landskap daerah ini dan Bazar Rakyat Kota Belud yang akan dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada peniaga di bazar itu. – BERNAMA