BUKIT KATIL – Seorang bayi berusia lapan bulan terpaksa dimasukkan ke hospital gara-gara kecuaian seorang pengasuh yang tidak bertanggungjawab dalam kejadian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak, di sini.
Kejadian itu hanya disedari oleh ibu mangsa selepas anaknya kelihatan lemah, tiada selera makan dan kedua-dua belah matanya ke atas (ala-ala sawan) sebelum dihantar ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk mendapatkan rawatan.
Menurut bapa saudara mangsa, Shahrul Nizam, anak saudaranya yang baru tiga hari berada di pusat asuhan itu terpaksa melalui pengalaman pahit apabila menerima layanan yang tidak sepatutnya oleh pengasuh berkenaan.

“Anak saudara diletakkan di atas lantai lepas dimandikan pengasuh. Ketika dia sedang baring, pengasuh main tarik je tangan baby dalam keadaan duduk.
“Lepas tu dia biarkan je menangis selama sejam lebih, dan dia tak pakaikan baju walaupun berada di dalam bilik yang berkipas dan berhawa dingin,” katanya berdasarkan pemerhatian CCTV di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.
Menurut Shahrul, pihak keluarganya akan membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian berkenaan. – MYNEWSHUB.CC

