KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren Intercity di wilayah Pantai Timur terjejas disebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh di Kilometer (km) 392.5 Bukit Abu – Dabong, Kuala Krai pada pukul 8.30 pagi ini.
Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Siti Badariah Wan Hanafi berkata, semua perkhidmatan tren antara Kuala Krai – Gua Musang – Kuala Krai digantung sementara disebabkan insiden itu.
“Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No. 26 (Johor Bahru – Tumpat), perkhidmatan tren tamat di Stesen Dabong dan para penumpang akan meneruskan perjalanan ke Stesen Tumpat dengan menggunakan bas.
“Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran No. 27 (Tumpat Johor – Bahru), para penumpang akan menaiki bas dari Stesen Tumpat ke Stesen Gua Musang dan akan meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menggunakan tren,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Siti Badariah berkata, KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi orang ramai dan mereka boleh menghubungi pusat panggilan kami di 03-2267 1200 untuk sebarang pertanyaan.
Katanya, maklumat lanjut boleh juuga diperolehi dengan melayari laman sesawang www.ktmb.com.my. – MYNEWSHUB.CC

