KUALA TERENGGANU – Sejumlah 1,395 penerima bantuan dana persekolahan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menarik nafas lega kerana ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan 2017 pada Ahad ini.
Zawiyah Abdullah, 51, berkata beliau bersyukur dua darpada empat anaknya menerima sumbangan RM200 itu dan sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian ekoran pendapatannya sebagai peniaga kuih tidak menentu akhir-akhir ini.
“Sejak kematian suami lima tahun lalu, memang saya agak bimbang setiap kali menjelang sesi persekolahan baharu kerana perlu membuat persiapan sedangkan sumber kewangan agak terhad.
Namun, saya bersyukur sangat kerana setiap tahun memang dapat bantuan ini dan berharap kerajaan akan meneruskannya pada masa akan datang kerana ramai golongan susah seperti saya yang memerlukan bantuan sebegini,” kata ibu kepada 11 anak itu.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN itu, Yusof Awang Hitam.
Bagi warga emas, Ramli Karim, 66, pula berkata beliau tidak sabar hendak membeli pakaian seragam dan kasut sekolah untuk dua cucunya menggunakan bantuan tersebut.
“Saya ada empat cucu, dua tinggal bersama ibu bapa mereka di Kuala Lumpur dan dua lagi bersama saya kerana pendapatan mereka yang berniaga kecil-kecilan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan enam beranak di sana.
Awal bulan ini, ibu bapa mereka ada mengirim duit untuk membeli keperluan sekolah untuk dua anak mereka ini, jadi hari ni saya nak tambah lagi sepasang uniform sekolah supaya mereka gembira dan dapat belajar dengan selesa,” katanya.
Seorang lagi ibu tunggal, Rokiah Muda, 54, pula mahu menggunakan wang bantuan persekolahan itu untuk membayar yuran dan membeli buku rujukan untuk anak bongsunya, Muhammad Naim Jauhar Sameli, 11.
“Walaupun saya tidak bekerja, namun saya masih menerima pencen arwah suami RM1,700 sebulan dan tujuh lagi anak saya yang sudah bekerja juga ada memberi sedikit wang untuk persiapan sekolah adik mereka.
“Bantuan persekolahan RM100 ini memang sangat membantu saya untuk memastikan anak ke sekolah dengan lebih bersemangat apabila dapat beg, pakaian dan kasut baharu, sama seperti rakan yang lain,” katanya. – BERNAMA
