MELAKA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM100,000 untuk diagihkan kepada murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Tangga Batu, Kota Melaka dan Asahan, Alor Gajah.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, seramai 1,000 pelajar dalam kalangan keluarga B40 menerima sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu mereka bagi meringankan urusan kewangan menyediakan kelengkapan persekolahan.
Menurutnya, sumbangan itu turut membolehkan ibu bapa membeli set baju, kasut, stoking atau beg sekolah mengikut kesesuaian masing-masing.
Beliau berkata, sehingga kini YBR telah membantu 60,558 murid melalui bantuan persekolahan dengan peruntukan berjumlah RM6.72 juta sejak 2018.
Jelasnya, bagi tahun ini pula sebanyak RM3 juta diperuntukkan dalam program bantuan persekolahan.
“YBR cakna dengan situasi masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara selama dua tahun lalu, di samping melihat keadaan ekonomi yang tidak menentu.
“Justeru, bantuan persekolahan ini yang diberikan dalam bentuk tunai sebanyak RM100 sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa atau penjaga meringankan beban sewaktu sesi persekolahan yang dijalankan semasa fasa endemik,” katanya selepas menyampaikan penyampaian replika cek bantuan persekolahan.
Megat Zulkarnain menambah, beliau turut berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi suntikan semangat kepada murid-murid untuk terus menuntut ilmu.
“Kerana itu adalah tanda ikhlas YBR membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan,” jelasnya.
UtusanOnline-