BARU kelmarin kita dikejutkan dengan tragedi ngeri meragut 14 nyawa melibatkan sebuah bas ekspres di Kilometer 137.3, Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, Johor.
Kejadian nahas terbabit benar-benar membuka peluang pada orang ramai untuk menuding jari dan menyalahkan serta merta pemandu bas destinasi jarak jauh kerana sikap mereka yang gemar memandu laju dan kadangkala cuai.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini seorang pemandu bas ekspres dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur menuju ke Muar, Johor dirakam menggunakan telefon masa memandu.
Salah seorang penumpang yang merakam kejadian, Firdaus Wong Wai Hung berkata, dia yang duduk berhampiran pemandu bas berasa tidak sedap hati melihat kelakuan lelaki itu yang leka dengan telefon bimbit sambil memandu.
“Rakaman sewaktu saya berada dalam bas Mayang Sari nombor plat JRU6400 dari TBS ke Muar,” tulisnya dalam ruangan kapsyen video yang dipercayai dirakam pada pukul 11.30 pagi.
“Barangkali ini antara sebab kemalangan jalan raya berlaku. Merokok, membaca mesej telefon bimbit dan sempat lagi membalas mesej ketika memandu.
“Tidak semua pemandu begini maka jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” tambahnya yang juga merupakan presiden sebuah pertubuhan dakwah Islam, Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Pemandu bas berusia 40-an itu dilihat dengan selamba menggunakan telefon bagi membalas mesej perbualan dan kemudian memandu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
BACA INI: Leka Guna Telefon: Penumpang Bas Mahu Tindakan Tegas
Malah dia turut merokok biarpun mengetahui perbuatan berkenaan adalah salah di sisi undang-undang.
Rakaman video yang dikongsinya itu kini mula tular dan rata-rata netizen mendesak pihak berkuasa agar menyiasat dan segera mengambil tindakan.

Firdaus turut berkongsikan perbualan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan pihak perkhidmatan pelanggan syarikat bas terbabit yang meminta maaf dan berjanji akan mengambil tindakan susulan. – MYNEWSHUB.CC

