JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket curi kenderaan mewah di negeri ini dalam 12 siri serbuan di daerah Johor Baharu Selatan baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam kesemua serbuan pada 12 Nov lepas, seramai empat lelaki dan dua perempuan, yang kesemuanya warga tempatan, ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket terbabit.
“Kesemua suspek yang berusia 17 hingga 35 tahun itu juga disyaki terlibat dalam aktiviti pecah rumah di Johor, Perak dan Kuala Lumpur dan penangkapan ini membolehkan polis berjaya menyelesaikan 35 kes pecah rumah di tiga negeri itu,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh kereta mewah berjenama seperti Lexus, Mini Cooper, BMW dan Mercedes Benz serta sebuah motosikal BMW.
Kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor, kata beliau.
Mohd Mokhtar berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan bermotor yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis juga merampas 5,675 mesin judi dan wang tunai RM198,417 bagi tempoh Januari hingga 19 Nov tahun ini.
Seramai 157 individu telah didakwa ke mahkamah dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 1998, kata beliau.
Beliau berkata sebanyak 594 buah komputer perjudian dan wang tunai RM15,984 telah dirampas menerusi 873 serbuan yang telah dibuat bagi tempoh 26 Okt dan 19 Nov tahun ini. – BERNAMA

