TEHERAN – Gara-gara peningkatan jumlah insiden unta terlibat dalam kemalangan jalan raya di Iran, haiwan itu akan diberikan lesen atau plat nombor seumpama kenderaan bermotor.
Menurut laporan media tempatan, hampir 100,000 ekor unta di negara Teluk Parsi itu sudahpun mendapatkan plat nombor masing-masing manakala 35,000 lagi akan dikeluarkan dalam fasa pertama skim khas tersebut.
Inisiatif tersebut diperkenalkan oleh pihak berkuasa Iran untuk memudahkan setiap pemilik unta dapat menjejaki unta mereka itu sekiranya haiwan padang pasir berkenaan dikesan terlibat dalam nahas jalan raya.
Menerusi plat nombor unta itu, para pemilik binatang tersebut boleh dihubungi oleh pihak penguatkuasaan trafik sekiranya haiwan mamalia berkenaan didapati terlibat dalam sebarang insiden kemalangan jalanan.
Para pegawai mendedahkan semakin banyak unta berkeliaran bebas di jalan raya wilayah Sistan dan Baluchestan, bersempadan Afghanistan dan Pakistan, sehingga menyebabkan kes kerosakan dan kerugian kepada penduduk.

Mohammad-Sharif Khaleqinia, Setiausaha Pasukan Bertindak Pusat Iran untuk Pembanterasan Penyeludupan Komoditi dan Mata Wang di Wilayah Sistan dan Baluchestan mengesahkan langkah terbaharu berkenaan.
“Kami akan beri kad pengenalan kepada 35,000 unta semasa fasa pertama selain mengeluarkan plat-plat nombor untuk setiap haiwan ini,” kata beliau ketika dihubungi oleh agensi berita tempatan IRNA.
Selain itu, IFP News melaporkan inisiatif tersebut menjadikan rakyat Iran berasa lebih bertanggungjawab terhadap unta peliharaan mereka sendiri di samping menangani masalah jenayah penyeludupan di sempadan negara.
Unta dipercayai berasal dari Shar-i Sokhta di tengah Iran kira-kira 3,000 Sebelum Masihi sebelum diternak ketika era tamadun awal Mesopotamia berkembang di seluruh rantau Asia Barat. – Agensi/Mynewshub/HAA

