KUALA LUMPUR – Syarikat yang mendaftar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah 153,514 hingga 19 November, peningkatan sebanyak 2,629 daripada hari sebelumnya, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Jumlah syarikat yang mendaftar kini melepasi sasaran kerajaan sebanyak 140,000 hingga akhir tahun.
Bagaimanapun, syarikat yang masih belum mendaftar mempunyai masa hingga 31 Disember ini untuk berbuat demikian. Regim percukaian baharu itu akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.
Perniagaan dengan perolehan jualan tahunan kurang daripada RM500,000 disaran supaya mendaftar untuk GST sebelum jumlah perolehan jualan tahunan mereka melebihi RM500,000 pada masa depan.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, menasihatkan syarikat terbabit mendaftar secara sukarela dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk pelaksanaan GST. – BERNAMA

