KUALA TERENGGANU – Bersempena Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT 2017), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) giat menyiapkan laluan pejalan kaki fasa kedua serta mengindahkan kawasan bandar, membabitkan peruntukan RM2.2 juta.
Datuk Bandar MBKT Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata laluan pejalan kaki dari Stesen Bas MBKT melalui Paya Bunga Square (PB Square), Bangunan PMINT dan Agro Bank seterusnya ke stesen bas sepanjang 1.4 kilometer, juga telah diperlebar kira-kira 10 kaki.
“Kita telah membuat laluan pejalan kaki fasa pertama dahulu antara Pasar Payang ke stesen bas berkenaan sejauh 0.4 km di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkannya. Jadi fasa kedua ini kita menyambung kerja-kerja fasa pertama dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program kempen mengurangkan kenderaan di bandar raya itu bersempena kempen bandar bebas kenderaan terutama pada hari Jumaat.
Katanya sehingga kini kerja-kerja melebar laluan dan mengindahkan bandar itu siap kira-kira 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun baharu.
Mohd Zulkifli berkata pembinaan laluan pejalan kaki tersebut akan menyebabkan jalan raya semakin sempit berikutan MBKT telah membuat laluan sehala di Jalan Sultan Ismail dari persimpangan Jalan Air Jernih, Jalan Masjid Zainal Abidin hingga ke hadapan stesen bas.
Katanya bagi mengelakkan kesesakan berterusan, pihaknya bersama Pejabat Perancang Bandar dan Jabatan Kerja Raya, giat mengadakan mesyuarat bagi jalan alternatif untuk kemudahan orang ramai.- BERNAMA

