SEBUAH syarikat di Iruma, utara Tokyo memperkenalkan pelekat kuku kecil bagi mengesan warga emas dengan penyakit nyanyuk (demensia) bagi mengelakkan risiko sesat.
BBC melaporkan setiap pelekat tersebut mempunyai nombor pengenalan unik bagi membantu keluarga pesakit berkenaan mencari orang tersayang mereka yang hilang.
Pelekat berkod untuk kuku ini, sebahagian daripada perkhidmatan percuma yang dilancarkan bulan ini dan yang pertama di Jepun berukuran hanya satu sentimeter (0.4 inci).

Sistem QR tersebut mengandungi maklumat mengenai alamat, nombir telefon dan nombor identiti unik pada setiap pesakit.
Pejabat kebajikan sosial bandar Jepun menjelaskan, pelekat tersebut akan diletakkan pada jari tangan dan kaki pesakit dengan kod bar imbasan.
Cip tersebut mampu melekat dalam tempoh purata dua minggu walaupun basah.
Teknologi ini memudahkan pasukan polis mendapatkan maklumat mengenai pesakit selepas mengimbas kod bar pada jari dan tangan pesakit.
Jepun berdepan dengan penuaan penduduk yang pesat dengan warga emas dijangka membentuk 40 peratus penduduk sekitar 2060. – MYNEWSHUB.CC

