Cadangan yang dikemukakan oleh Wanita UMNO untuk diwujudkan satu kerusi khas buat golongan itu menjawat jawatan Naib Presiden UMNO mendapat sokongan padu pemimpin senior dalam kalangan mereka.
Ungkap Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari, cadangan tersebut mendapat sokongan sebanyak 89 peratus, ataupun 171 daripada 192 bahagian Wanita UMNO di seluruh negara.
“Resolusi itu tidak akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung kali ini tetapi ia telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi untuk pertimbangan,” ujarnya yang juga Ketua Wanita UMNO Pahang.
Namun demikian, terdapat beberapa bantahan dari kaum lelaki dalam UMNO yang tidak melihat kepentingan menambah kerusi keempat bagi jawatan tersebut yang ketika ini disandang kaum lelaki.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan tentang perpecahan puak dalam wanita andai cadangan tersebut diterima pakai dan dilaksana. Ini kerana, jawatan yang disandang dua pemimpin wanita iaitu Naib Presiden dan Ketua Wanita UMNO akan membahagikan penyokong kepada dua pihak.
“Tak mengapa jika mereka boleh bekerjasama. Tetapi bagaimana jika mereka tidak boleh bersama? Ketua Wanita UMNO akan mempunyai tenteranya sendiri dan Naib Presiden Wanita tentunya juga akan mempunyai tentera yang tersendiri.
Dua pemimpin yang memimpin dalam satu kapal, kapal itu boleh terbelah dua,” ujar Ketua Bahagian UMNO Temerloh, Datuk Shakar Shamsuddin.
Cadangan tersebut merupakan hasil cetusan idea dari Ketua Wanita UMNO, Datuk Syahrizat Abdul Jalil yang melihatnya sebagai satu pengiktirafan terhadap golongan wanita yang sentiasa menjadi tulang belakang perjuangan UMNO.
“Kami akan terus berusaha merealisasikan cadangan ini walaupun bukan pada tahun ini. Idea seperti ini pastinya akan mengambil masa,” ujar Ketua UMNO Bukit Bintang, Senator Mariany Mohd Yit.
Namun, bagi Datuk Seri Azalina Othman Said, beliau mencadangkan agar wanita lebih berusaha untuk menduduki jawatan di peringkat ahli majlis kerajaan tempatan dan ketua kampung.
Tegasnya, gesaan ini bertujuan untuk memperkasakan golongan tersebut di peringkat akar umbi, sebelum boleh bergerak ke jawatan yng lebih tinggi. – MYNEWSHUB.CC



