PEWARIS tunggal sebuah empayar yang bernilai AS$122 billion (RM564 billion) di China dilaporkan enggan mewarisi perniagaan bapanya kerana memilih cara kehidupan sendiri.
Daily Mail melaporkan, pengasas dan pengerusi Dalian Wanda Group, Wang Jianlin terpaksa mencari pewaris selepas anaknya, Wang Sicong, 28, tahun tidak mahu mengambil alih perniagaannya.
“Saya telah bertanya kepada anak saya tentang pewarisan dan dia berkata dia tidak mahu kehidupan seperti saya.
“Mungkin generasi muda mempunyai kemahuan dan kepentingan mereka sendiri. Mungkin lebih baik tugas ini diberikan kepada pengurus yang lebih profesional dan kita hanya melihat mereka menguruskan perniagaan,” kata Jianlin di sebuah persidangan.

Menurutnya, beberapa pengurus yang profesional sudah dipilih menjadi calon dan menjelaskan individu yang dipilih dan dilatih akan menjadi lebih baik dalam perniagaan daripada individu yang menonjol melalui persaingan.
Jianlin yang berusia 62 tahun itu menjalankan perniagaan pasaraya, hotel, taman tema dan kelab sukan.
South China Morning Post melaporkan Sicong merupakan pengarah kepada empayar bapanya dengan saham sebanyak 2 peratus.
Dia telah mengasaskan Prometheus Capital pada 2011 dan melabur wang di Invictus Gaming, Dining Concept Holdings.
Mei tahun lalu, Sicong telah membeli dua jam jenama Apple Watch dan dipakaikan kepada anjing kesayangannya.
Gambar anjingnya memakai dua Apple Watch itu dimuat naik dalam akaun media sosial dan anjing itu sendiri kini sudah mempunyai hampir 700,000 pengikut di laman sosial Weibo. – MYNEWSHUB.CC

