KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mendakwa kemuafakatan yang dicapai oleh Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah mencukupi buat masa ini.
Setiausaha Organisasinya, Suhaizan Kayat mendakwa kononnya kemuafakatan antara Pakatan Harapan dengan PPBM sebagai asas sudah memadai untuk menumbangkan parti Melayu UMNO.
“Yang penting semua parti politik pembangkang mempunyai satu keazaman (untuk menumbangkan parti Melayu UMNO),” katanya di laman Facebook beliau hari ini.
Beliau berkata demikian kerana ramai penyokong Pakatan Harapan mempersoalkan mengapa PPBM tidak menyertai Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan dan PPBM semalam gagal mencapai persetujuan untuk bergabung dibawah satu gabungan parti pembangkang seperti yang diharapkan oleh ramai penyokongnya.
Pakatan Harapan dan PPBM sebaliknya cuma memaklumkan kononnya satu gabungan parti pembangkang akan diwujudkan antara Pakatan Harapan dan PPBM sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang belum ditetapkan tarikhnya.
Perjanjian longgar dimeterai antara kedua-dua pihak itu turut menyebut Pakatan Harapan dan PPBM akan meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan dan PPBM dalam pilihan raya di mana-mana peringkat.
Musykilnya, perjanjian itu akan hanya terlaksana setelah pembahagian kerusi ditentukan melalui perundingan di antara kesemua pihak berdasarkan prinsip boleh menang.
Pakatan Harapan dan PPBM turut berjanji akan menggunakan manifesto dan logo bersama dalam PRU14 tetapi tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. – MYNEWSHUB.CC

