KUALA LUMPUR – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) memuji Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana memberi amaran tegas terhadap pihak yang terlibat dalam rasuah pembalakan di Sarawak.
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, amaran Ketua Menteri Sarawak itu mampu membuka mata semua pihak terutama golongan berpengaruh tinggi mereka tidak sewenang-wenang boleh mencuri khazanah negara.
“Gejala rasuah ini bukan sesuatu yang baharu dan merupakan malapetaka yang mampu memusnahkan umat bangsa dan agama malah memberi kesan jangka panjang kepada negara.
“Amaran Adenan merupakan pendekatan yang jitu kerana ada sesetengah pihak yang diamanahkan turut memburukkan lagi apabila pembalakan haram makin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Moehamad Izat berkata, langkah Adenan tidak lagi mengeluarkan lesen baharu kepada syarikat pembalakan di Sarawak merupakan langkah terbaik untuk membendung masalah rasuah pembalakan.
Menurutnya, memerangi gejala rasuah memerlukan lonjakanparadigma dan kesedaran kepada semua pihak supaya negara terselamat daripada budaya penyogok dan budaya penindasan terhadap sesetengah golongan yang jujur untuk mendapatkan sesuatu projek.
“Jika dibiarkan masalah ini berterusan, pelbagai gejala akan timbul dan seterusnya merosakkan kehidupan yang ada tanpa menghiraukan undang-undang dan garis panduan sedia ada,” katanya.
Beliau memberi contoh ramai menteri di Indonesia dan golongan berjawatan tinggi dalam jabatan kerajaan diberkas dan disabitkan kesalahan ekoran tindakan tegas oleh pihak berkuasanegara tersebut. – mynewshub.cc

