SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi antara lima penerima anugerah khas sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor 2016 di sini hari ini.
Tun Hisan, 57, dikurniakan Anugerah Khalid Al-Walid atas jasanya semasa berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu selama 37 tahun selain memainkan peranan aktif dalam perkembangan bidang akademik ketika ini.
Mohamed Khusrin, 60, pula menerima Anugerah Umar Abdul Aziz hasil semangat serta dedikasi yang ditunjukkan sebagai seorang penjawat awam sebelum ini dalam memastikan pentadbiran negeri ini dilaksanakan di atas landasan integriti, telus dan bertanggungjawab.
Turut menerima anugerah, Ahli Institut Integriti Malaysia, Datuk Aidit Ghazali dan Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali yang masing-masing menerima Anugerah Imam Al-Ghazali dan Anugerah Saidatina Khadijah.
Pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, Bilal Kamarudin, 18, pula muncul sebagai tokoh paling muda menerima Anugerah Saidina Ali sempena majlis itu kerana berjaya menunjukkan contoh teladan yang baik dari segi pencapaian akademik serta sahsiah menerusi penglibatan aktifnya dalam bidang nasyid.
Setiap penerima anugerah dihadiahkan wang tunai, sepersalinan pakaian, piala iringan dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Stadium Malawati di sini.
Turut menyaksikan penganugerahan itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Dalam pada itu, Tun Hisan menyifatkan penganugerahan yang diterimanya itu merupakan satu suntikan semangat untuk terus berbakti dan akan meneruskan usaha menyebarkan ilmu dan dakwah sebagai seorang muslim. – BERNAMA
