MELAKA – The Shore Shopping Gallery memperkenalkan dua tarikan pelancongan baharu negeri ini – The Shore Toy Museum dan The Shore Interactive Park – bernilai kira-kira RM6 juta.
Pengurus Eksekutif Kanan The Shore Toy Museum, Chew Chert Fong, berkata kira-kira 200,000 pelancong tempatan dan luar negara dijangka mengunjungi kedua-dua tarikan berkenaan yang menawarkan pelbagai pengalaman dan keseronokan sepanjang tahun hadapan.
Katanya dua produk yang masing-masing bernilai RM3 juta itu merupakan produk pelancongan ketiga dan keempat The Shore Shopping Gallery yang akan membantu merancakkan usaha mewujudkan ‘bandar hiburan’ di kawasan pusat membeli-belah berkenaan itu, yang berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung dalam tempoh sebulan pembukaannya.
“Terdapat lebih 10,000 jenis permainan, patung dan adiwira dalam pelbagai bentuk dan saiz yang diperoleh dari pelbagai negara dipamerkan di The Shore Toy Museum. Ia mampu menarik pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk melihat secara dekat koleksi yang dipamerkan.
“Pengunjung boleh bergambar bersama koleksi, patung atau adiwira yang dipamerkan pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Chew berkata The Shore Interactive Park pula dilengkapi 13 elemen 3D seperti teater hologram, 3D dan gambar, lukisan 3D, rumah hantu, cemin ajaib, rumah terbalik, suasana berbeza siang dan malam, cermin infiniti dan kesan interaktif.
“Pengunjung akan dapat merasai pelbagai pengalaman baharu dengan pelbagai kesan menggunakan teknologi tinggi yang pastinya tidak mengecewakan mereka,” katanya.
Beliau berkata The Shore Toy Museum yang terletak di tingkat satu pusat membeli-belah itu dibuka pada setiap hari bermula 10.30 pagi hingga 10 malam, manakala The Shore Interactive Park yang terletak di tingkat dua dibuka bermula 10.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Dalam pada itu, replika robot ‘Supreme Prime’ setinggi lima meter dan berat 2,750 kilogram, yang diperbuat daripada komponen kenderaan terpakai, yang ditempatkan di pusat membeli-belah itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai’The Tallest Scrap Metal Robot Replica’. – BERNAMA