TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 merampas 161,078 liter diesel bersubsidi bernilai RM354,371 daripada dua buah lori tangki di Tanjung Batu di sini semalam.
Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohamad Madun berkata dalam rampasan kira-kira 11 pagi itu, pihaknya turut menahan lima lelaki berumur antara 25 dan 58 tahun.
“Pasukan peronda PPM terserempak dengan lori-lori itu yang sedang memindahkan minyak ke dalam bot tunda. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu dan juragan bot berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen untuk membenarkan mereka melakukan aktiviti tersebut,” katanya.
Beliau berkata bahan api tersebut dipercayai diperoleh secara tidak sah.
Mohamad meminta orang ramai bekerjasama dengan PPM bagi menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan minyak. – BERNAMA

