TAWAU – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dilarikan seorang lelaki di rumahnya di Kampung Rawa Rawa, Batu 4 di sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Mustaffa Maarof Mustafa berkata mangsa hilang ketika tidur bersama ibunya, Norsiah Rashid, 32, di ruang tamu dan insiden itu disedari adik kepada ibu mangsa, kira-kira pukul 6.15 pagi.
“Semasa kejadian berlaku, pintu rumah tertutup tetapi tidak berkunci memandangkan nenek mangsa sedang sibuk mengatur jualan nasi kuning di dapur,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mustaffa, siasatan awal ke atas Norsiah mendapati suaminya telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dari seorang lelaki yang dipercayai telah melarikan mangsa.
“Suspek menuntut wang RM100,000 bagi membayar hutang dadah,” katanya.
Mustaffa berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha untuk mengesan mangsa masih diteruskan. – BERNAMA

