MALANG… Pasangan ibu bapa dari Aktau, Kazakhstan terpaksa menanggung duka selepas menyebabkan kematian anak perempuan mereka di atas kecuaian mereka sendiri.
Menurut sebuah laman antarabangsa, seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik gara-gara bermain telefon pintar yang sedang dicas.
Foto kesan renjatan elektrik di bahagian bawah lengan bayi itu tersebar di laman sosial setelah dimuat naik oleh seorang jururawat di sebuah hospital di bandar tersebut sebagai amaran terhadap bahaya mengecas telefon berdekatan anak-anak kecil.
“Jangan tinggalkan bayi anda berhampiran alat pengecas tanpa sebarang pengawasan,” tulisnya.

Tambah laman itu lagi, kecelakaan itu berlaku ketika ibu mangsa yang enggan didedahkan identiti sedang tidur bersebelahan bayi perempuannya yang sedang bermain dengan wayar pengecas yang sudah rosak.
Wanita itu mula mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila terjaga dari tidur dan mendapati bayi perempuannya senyap dan tidak membuat bising.
Kemudian wanita itu baru tersedar bahawa anaknya tidak lagi bernafas lalu membalutnya dengan selimut sebelum bergegas membawa bayi itu ke hospital.
Malangnya bayi perempuan itu tidak dapat diselamatkan setelah doktor mengesahkan bayi tersebut telah meninggal dunia akibat renjatan elektrik berdasarkan kesan terbakar pada lengan dan tangannya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pihak berkuasa menahan ibu bapa bayi berkenaan atau tidak di atas kecuaian sehingga menyebabkan kematian anak mereka. – MYNEWSHUB.CC

