NEW DELHI – Seorang daripada ahli politik India yang paling berpengaruh dan pernah enam kali menjadi ketua menteri Tamil Nadu, J Jayalalithaa, kini bergantung kepada alat sokongan hayat di sebuah hospital di Chennai pada Isnin.
Beberapa saluran media sebelumnya melaporkan bahawa Jayalalithaa, 68, telah meninggal dunia, menyebabkan pihak hospital yang merawatnya mengeluarkan kenyataan menafikan laporan itu.
Apollo Hospital berkata ketua menteri Tamil Nadu itu, yang mempunyai ramai penyokong di selatan India, menggunakan alat sokongan hayat dan para doktornya dan doktor dari ndia Institute of Medical Sciences (AIIMS), terus memantau keadaannya dari semasa ke semasa
“Beberapa stesen televisyen tersalah lapor bahawa yang berhormat ketua menteri telah meninggal dunia. Laporan itu tidak berasas dan tidak benar,” kata pihak hospital.
Parti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) pimpinan Jayalalithaa mengibarkan bendera separuh tiang di ibu pejabatnya di Chennai berikutan laporan itu.
Pengrah urusan bersama Apollo Hospital Sangita Reddy berkata sebelumnya Jayalalithaa berada dalam “keadaan tenat” walaupun kami telah melakukan yang terbaik.
Jayalalithaa pada Ahad diserang penyakit jantung.
Dia dimasukkan ke hospital pada 22 Sept kerana demam, dehidrasi dan jangkitan respiratori tetapi dikatakan bertambah baik sebelum keadaan kesihatannya pada Ahad menjadi bertambah teruk.
Beliau yang menjadi seorang ikon di layar perak pada 1960-an ialah seorang tokoh yang berpengaruh dalam politik India. – BERNAMA